Cari Blog Ini

Kamis, 12 Maret 2009

gereja katolik di mata umat

gereja katolik di mata umat


Beberapa isu tentang ajaran, doktrin dan dogma Gereja Roman Katolik

Pada tahun 1969, Paus Paul VI telah memperkenalkan satu liturgi baru yang dinamakan ‘Misa Baru’ atau ‘Novus Ordo Missal’. Sebelum Misa Baru diperkenalkan, Gereja telah lama merayakan misa yang dikenali sebagai ‘Misa Tridentine atau ‘Misa Latin Tradisional’. Perubahan liturgi ini kelihatan seolah-olah perkara kecil, sesuatu yang telah pernah dilakukan sebelum ini dan dilihat sebagai suatu kebiasaan atau lumrah. Apakah perbezaan di antara Misa Baru yang diperkenalkan oleh Paus Paul VI dengan Misa Tridentine? Perbezaan di antara kedua-dua jenis Misa ini amat ketara, sekaligus mengheret Gereja menuju ke arah kehancuran.

MISA BARU BERTENTANGAN DENGAN TRADISI

Dalam sejarah Gereja Katolik selama 2000 tahun yang lepas, Misa Tridentine atau Misa Ritus Roman, telah dikembangkan secara organik, iaitu ia diturunkan (diwariskan) kepada Para Rasul dan Gereja Katolik melalui Yesus Kristus sendiri. Walaupun beberapa ritual timbul, kesemuanya mempunyai ciri-ciri kerohanian yang sama dengan liturgi yang berasal daripada Yesus Kristus, dan disesuaikan kepada kebudayaan masyarakat tempatan tanpa apa-apa perubahan dari segi doktrin.

Sehinggalah persidangan Konsili Vatican ke-II, Ritual Roman telah mengalami perubahan yang minima sahaja, sehinggakan seorang ahli liturgi yang berbangsa Inggeris, Paderi Adrian Fortescue, mengatakan, “tiada seorang pun berani menyentuhnya kecuali dalam hal yang tidak penting.”

Keutuhan atau integriti Misa dianggap sangat kudus sehinggakan apabila Paus Santo Gregori yang terkenal (590-604) menambah perkataan diesque nostros in tua pace disponas kepada bahagian Kanon Hanc Igitur (bahagian tengah Misa), penganut Katolik di Rom menjadi sangat marah dan mengugut ingin membunuhnya!

Inilah antara sebab mengapa Paus Santo Pius V telah mengkodifikasikan Misa Latin melalui pengumuman Quo Primum pada tahun 1570. Misa yang dikodifikasikan bukanlah suatu upacara baru seperti Misa ‘Novus Ordo’, tetapi Misa yang menyerupai iman Para Rasul sejak zaman Yesus lagi. Kata-kata atau Bull Paus Santo Pius V:

Tidak ada seorang paderi pun, samada paderi sekular atau order, akan dipaksa merayakan Misa dengan cara lain. Dan untuk memastikan tiada kebimbangan akan wujud terhadap penalti atau pelanggaran eklesiastikal, kami mengumumkan dengan kuasa mutlak yang diberi kepada kekuasaan apostolik, kami mengumumkan dan menggalakkan order liturgi ini, akan wujud untuk selama-lamanya, dan tiada undang-undang diperbolehkan untuk menghentikannya atau mengubahnya…. Dan sekiranya ada sesiapa yang berani melakukan yang sebaliknya dari apa yang telah diumumkan, yang diwariskan kepada umat untuk selama-lamanya, biarlah dia sedar bahawa dia telah menaikkan kemarahan Tuhan yang MahaKuasa, dan Para Rasul, Petrus dan Paulus.

Apakah yang telah berlaku dalam persidangan Konsili Vatican II? Adakah perubahan yang dilakukan cuma merupakan hal-hal yang remeh temeh? Adakah segala penghormatan telah diberikan kepada ritual Roman yang diturunkan dari Yesus kepada Gereja-Nya dan disahkan melalui kesaksian daripada beribu-ribu para Sangti dan jumlah mukjizat yang tidak terhingga bilangannya? Kardinal Ratzinger, yang dahulunya memegang jawatan sebagai Prefect of the Congregation for Doctrine & Faith dan sekarang ini adalah Paus Benedict XVI memberi jawapan ini:

Konsep bahawa liturgi adalah sesuatu yang diwariskan/diberikan dan bukan sesuatu yang diperbolehkan untuk diubah mengikut sesuka hati, telah hilang sama sekali daripada pemikiran penganut Katolik di Negara Barat. Konsili Vatican I dalam tahun 1870 telah mendefinisikan Paus sebagai, bukan kerajaan monarki mutlak, tetapi hanya sebagai penjaga atau penjamin (guarantor) kepada Sabda yang telah diwahyukan. Kuasa mutlak yang diberikan kepadanya adalah untuk menyebarkan Iman Katolik yang satu dan benar ini. Kesetiaan sebagai penjaga/penjamin Iman ini sangatlah berkait rapat dengan liturgi. Tidak ada kuasa yang diberikan untuk mencipta suatu liturgi yang baru. Dari segi perkembangan liturgi yang homogenis, integriti dan identitinya yang tidak akan berubah, paus, didalam peranannya sebagai penjaga liturgi atau deposit iman Katolik yang satu ini hanyalah seorang hamba Tuhan yang rendah diri. TUGAS SEORANG PAUS adalah MENJAGA dan MEMBERI JAMINAN BAHAWA tidak ada perubahan yang dilakukan kepada LITURGI dan AJARAN GEREJA KATOLIK yang kudus, dan ia diturunkan kepada generasi yang seterusnya dalam kandungan yang sama. Malangnya, dalam persidangan Konsili Vatican ke-II, agenda konsili ini sangat jelas menunjukkan tiada niat untuk mengekalkan Tradisi Gereja tetapi sebaliknya, MENCIPTA sesuatu yang baru.

Apakah yang perlu dibuat oleh seorang Katolik sekiranya menurut pendapat para teologi Katolik selama beberapa kurun, tentang paus yang “berniat mengubah ritual gereja yang berdasarkan Tradisi Apostolik menjadi seorang schismatic, yang mana arahannya tidak perlu dipatuhi” (Suarez*)? Bukankah ini yang dibuat oleh Konsili Vatican II sekarang, mengarah penganut Katolik seluruh dunia mengabaikan ritual yang diwariskan oleh Yesus Kristus kepada kita melalui Tradisi Apostolik dan menggantikannya dengan Misa Novus Ordo? (*Francisco Suarez (1548-1617), S.J., Doctor Eximus - “an eminent and pious theologian” - Pope Paul V)

PEMUSNAHAN LITURGI ADALAH PEMUSNAHAN IMAN KATOLIK

Gereja selalu menegaskan dengan jelas prinsip berikut: “Kepercayaan kita adalah digambarkan melalui cara kita berdoa (lex orandis, lex credendi)” Kebenaran doktrin tentang iman adalah disatukan dengan doa atau liturgi yang dipersembahkan kepada Tuhan. Dalam erti kata lain, korban kudus dalam Misa mengajar kita tentang teologi Katolik dan bukan sebaliknya. Misa Tridentine adalah iman dan moral yang diturunkan melalui Tradisi Apostolik. Doktrin yang lengkap tentang iman diajari kepada umat melalui Misa ini. Paus Leo XIII, di dalam suratnya Apostolicae Curae menekankan bahawa musuh-musuh Gereja sangat memahami prinsip ini, “mereka amat peka tentang hubungan intim antara iman dengan cara berdoa, iaitu kepercayaan seseorang ditunjukkan melalui cara seseorang berdoa. Untuk mengaburi mata umat, mereka menggunakan alasan ingin mengembalikan liturgi kepada zaman primitif tetapi sebaliknya telah merancang untuk mengkorupsikan liturgi mengikut cita rasa mereka.” Dengan itu, tidak hairanlah, Martin Luther pernah mengatakan, “lenyapkan liturgi, musnahlah Gereja.”

Tidak ada komentar:

Posting Komentar